Saturday, November 1, 2014

ISU SURVIVAL HIDUP DALAM AKTIVITI SUKARELAWAN




Selepas beberapa lama berada dalam aktiviti sukarelawan, saya menemui satu persoalan yang sukar dijawab dalam organisasi dan di kalangan sukarelawan. Sukar dijawab jika paksinya tidak betul.

Apakah sukarelawan melakukan apa yang mereka lakukan secara sukarelawan atau sukarela+wang?

Isu ini mungkin timbul apabila sesetengah organisasi beroperasi secara penuh atas tugas sukarelawan, berbanding sesetengah organisasi lain tenggelam timbul dengan program-program bersifat berkala atau secara Touch N Go.

Sama ada seseorang petugas sukarela melakukan aktiviti sukarelawan kerana betul-betul mahu berkongsi rezeki, pahala, dan wang lebih, ataupun mereka melakukannya dan mendapat gaji, hal ini adalah subjektif bagi ditentukan. Ia bertitik-tolak daripada hati yang ikhlas.

Kita tidak dapat menilai dalaman orang lain sama ada mereka ikhlas atau tidak. Kita tidak dapat menghukum batin orang lain sama ada mereka melakukan tugas kerana mahukan upah atau betul-betul ikhlas. Ikhlas adalah kerja hati manusia dan hanya dapat dilihat oleh Allah.

Kadangkala, orang yang melakukan tugas sukarelawan dan mendapat gaji lebih ikhlas kepada Allah, berbanding orang yang bertugas sukarela tanpa mendapat apa-apa. Isunya, kembali kepada hati masing-masing.

Saya tertarik untuk mengulas hal ini apabila kita melihat kembali sejarah kegiatan sukarelawan di negara kita. Kebanyakan sukarelawan tidak dibayar apa-apa, malah mengorbankan pula masa, tenaga dan wang mereka bagi memperolehi pahala. Kita salute mereka kerana mereka bersungguh-sungguh melakukannya tanpa mengharapkan balasan. Kebanyakan mereka mempunyai penghasilan lain, dan menyumbangkan lebihan pendapatan mereka kepada kegiatan sukarelawan.

Namun, timbul pula isu berkenaan melakukan program sukarela secara Touch N Go. Hakikatnya, mad'u dakwah kita perlukan sukarelawan setiap masa. Terutamanya bagi sukarelawan dakwah Islam, seperti mengislamkan orang Asal, berdakwah secara sepenuh masa. Jadi, pendakwah dan sukarelawan ini memerlukan sedikit penghasilan yang dapat menampung kehidupan diri mereka dan juga keluarga mereka.



Dari sini, timbul pula keperluan menjadi sukarelawan sepenuh masa. Justeru, tidak dapat tidak, organisasi perlu membayar sukarelawan sepenuh masa ini bagi memastikan mereka dapat berkhidmat tanpa diganggu rasa bersalah tidak menyediakan keperluan untuk keluarga sendiri.

Sekian banyak sukarelawan yang berkecimpung mengajak umat ke arah Islam yang lebih baik, dan berusaha melakukan tugas sukarela tanpa penghasilan yang banyak, apakah kita sanggup menggelar mereka sebagai ustaz Sampul atau Sukarela-Wang?

Alangkah baiknya, sekiranya semua organisasi sukarelawan dapat menyediakan platform supaya semua sukarelawan mendapat pendapatan pasif.

Supaya isu-isu seperti keluarga terabai, suami keluar dakwah keluarga merempat, ustaz-ustaz sibuk dengan sampul, program dakwah mahal dan lain-lain dapat diselesaikan dengan baik.

Kredit Foto : Google Images.

No comments:

Post a Comment